Kalau dahulu untuk temui pasangan yang bercinta di khalayak ramai agak sukar ditemui, kini di mana sahaja kita boleh temui pasangan yang bercinta. Orang yang sedang bercinta-cintaan tidak lagi mengenal masa dan tempat. Dunia dirasakan milik mereka berdua. Bukan sahaja di taman-taman bunga seperti yang digambarkan dalam filem-filem lama, kini tidak kira di mana sahaja kita berada, kita boleh melihat mereka memadu kasih tanpa sifat malu. Tidak kira di stesen bas, di pusat membeli belah malah di dalam surau sekalipun. Di dalam kereta, bas atau di anak-anak tangga seperti sudah menjadi sesuatu yang biasa pada masa kini.
Bercinta juga cinta tidak mengenal masa. Tidak kira siang atau malam, malah ketika azan Maghrib berkumandang sekalipun kita masih boleh perhatikan pasangan yang bercinta ini. Dan ketika hati sedang berbunga ini, masa bergerak terlalu cepat sehingga tidak sedar embun jantan yang turun menitis membasahi kepala masing-masing.
Tetapi adakah mereka yang bercinta-cintaan ini mempunyai tujuan yang satu iaitu untuk bernikah? Rasanya tidak tepat kalau dikatakan semua pasangan bercinta dengan tujuan yang suci itu, kerana pada masa kini bukan orang dewasa sahaja yang bercinta malah kanak-kanak di sekolah rendah juga sudah pandai bermain cinta. Adakah kanak-kanak berusia sembilan tahun bercinta sesama mereka dengan tujuan untuk berkahwin? Budaya percintaan seperti ini semakin amat membimbangkan. Anak-anak dari sekolah rendah sehingga ke menengah sudah mencampuradukkan pelajaran mereka dengan perkara yang tidak sepatutnya. Kini bukan sahaja para remaja yang bercinta, malah dari orang tua sehingga ke kanak-kanak juga sudah biasa bermain cinta. Lebih malang, mereka yang tidak mempunyai buah hati sering sahaja diejek sebagai ketinggalan zaman atau tidak pandai bersosial. Adakah kita perlu rasa malu diejek kerana tidak mempunyai pasangan. Adakah kita perlu mengikut perubahan zaman untuk berubah menjadi kepada yang lebih buruk?
Tidak kurang juga yang memberi alasan masa percintaan sebelum bernikah itu digunakan untuk berkenal-kenalan sebelum memasuki alam rumahtangga. Memang tidak dapat dinafikan, di dalam Islam terdapat konsep takruf iaitu pasangan perlu saling mengenali sebelum berkahwin. Masalahnya proses takruf dalam Islam tidak sebagaimana yang kebanyakan para remaja masa kini lakukan.
Ada juga yang membawa ayat tentang diciptakannya manusia dengan pelbagai budaya dan suku yang berbeza-beza, yang tiada lain adalah untuk saling kenal mengenal di antara satu sama lain. Masalahnya budaya percintaan masa kini sudah banyak terkeluar dari norma masyarakat apa lagi norma Islam itu sendiri. Kebanyakan mereka tidak dapat mengawal batas pergaulan di antara lelaki dan perempuan sebagaimana yang ditetapkan dalam Islam sehingga ada di antara mereka begitu mesra dan intim sekali mengalahkan pasangan suami isteri.
Ada yang memberi alasan untuk mengetahui latar belakang pasangan masing-masing; adakah pasangan mereka panas baran, cepat naik tangan atau pasangan yang penyabar. Ada yang sudah terlalu kenal pasangan masing-masing sehingga tiada lagi rahsia di antara mereka. Namun realitinya, apa yang digambarkan sebelum berkahwin adalah berbeza sekali setelah berumahtangga. Ada lelaki yang begitu romantik sebelum berkahwin, sanggup bawa ke mana sahaja kekasih hati ingin pergi. Sebaik sahaja duduk bersama, semua sudah berubah. Usahkan cakap isteri yang minta ditemani, mak mentua yang suruh pun diabaikan.
Thursday, March 22, 2012
Subscribe to:
Comments (Atom)